SINGER 50TAHUN





"Singer, menawan keluarga bahagia..." Masih ingat lagi dengan moto Singer yang mempertahankan kedudukannya sebagai jenama peralatan elektrik terbaik dan boleh dipercayai oleh suri rumah? Kini, Singer Malaysia berusia 100 tahun dan berkongsi kegembiraannya dengan mereka yang setia.

TAHUN ini, Singer Malaysia genap berusia 100 tahun. Semenjak cawangan pertamanya dibuka di Malaysia pada tahun 1906, hampir setiap rumah mempunyai sebuah mesin jahit berjenama Singer yang kekal menjadi harta berharga sehingga hari ini.

Bersempena dengan sambutan ulang tahunnya, Singer mencatatkan sejarah apabila berjaya mengenalpasti mesin jahit Singer yang tertua di Malaysia. Dimiliki oleh Lim Cheng Hoe, 47, dari Kuala Lumpur, mesin jahit yang berwarna hitam dengan hiasan keemasan, masih boleh berfungsi dengan baik walaupun usianya menjangkau 128 tahun.

"Sebenarnya mesin jahit ini saya peroleh dari sebuah kedai antik di Penang kira-kira 15 tahun yang lalu," kata Cheng Hoe yang merupakan seorang pegumpul barang-barang antik. Beliau yang tinggal di Taman Sri Gombak, Batu Caves mempunyai koleksi barangan antik seperti lampu Victoria, seterika, mesin jahit, katil dan pelbagai jenis barangan dekorasi dan elektrik yang berusia lebih dari 100 tahun.

Tambah Cheng Hoe: "Saya mempunyai empat lagi mesin jahit yang berasal dari Jerman, tetapi mesin jahit Singer adalah kegemaran saya dan isteri, Wong Ting, 47. Dia masih boleh menjahit langsir, selimut, sarung bantal dan macam-macam lagi dengan mesin ini.

Cheng Hoe yang meraih tempat pertama dalam pertandingan Mesin Jahit Singer Tertua yang berlangsung dari 8 Februari hingga 8 April yang lalu, membawa pulang wang tunai berjumlah RM1,000 dan mesin jahit Quantum Futura Singer bernilai RM4,950. Pemenang tempat kedua jatuh kepada Foo Kok Fatt, dari Ipoh, Perak dan tempat ketiga, Liew Choong Lin berasal dari negeri yang sama.

Lebih 100 orang peserta di seluruh Malaysia mengambil bahagian dalam pertandingan ini. Setiap mesin jahit ditentukan usianya dengan menggunakan nombor siri yang tertera pada mesin. Majlis penyampaian hadiah menyaksikan pemberian cenderamata dan wang tunai bernilai hampir RM15,000.

Dalam pada itu, pihak pentadbiran Singer turut melancarkan mesin jahit Centennial edisi terhad bagi memperingati sambutan ulang tahun Singer, selain menghulurkan bantuan kewangan kepada lima buah rumah kebajikan. "Mesin jahit Centennial hanya dikeluarkan dalam jumlah 1,000 unit sahaja dan setakat ini 300 buah unit telah pun dijual di pasaran.

"Setiap unit berharga RM1,388 dan sebanyak RM500 akan didermakan kepada tabung kebajikan bagi setiap unit yang berjaya dijual. Pada penghujung hari nanti, kami akan menghulurkan kutipan wang sebanyak RM500,000 kepada lima organisasi iaitu Yayasan Budi Penyayang Malaysia, Persatuan Kanser Malaysia, Persatuan Diabetes Malaysia, Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan Malaysia (NKF) dan Pertubuhan Kiwanis Down Sindrom," kata Pengurus Besar Pembangunan Rangkaian Pengedaran Singer (Malaysia) Sdn Bhd, Collin Tan Kim Chee.

Beliau meminta sokongan and kemurahan hati syarikat-syarikat korporat mengalu-alukan orang ramai untuk datang menyaksikan satu lagi pencapaian besar yang dilakukan dalam tempoh enam bulan. Meskipun sukar dicapai dalam sekelip mata, usaha menghasilkan sehelai selimut yang terbesar terlaksana apabila seramai 50 orang kakitangan Singer berpadu tenaga untuk memotong, menjahit dan menyeterika selimut gergasi tersebut.berukuran 25 x 25.2 meter dengan kira-kira 3,964 meter kain tampal hias yang dijahit secara bersambung, selimut ini dikatakan 70 kali ganda lebih besar daripada rekod terdahulu iaitu hanya 3 x 4 meter.

Selimut terbesar ini juga telah diterima masuk ke dalam buku Malaysia Book of Records (MBR). Selain daripada mendapat liputan yang membanggakan daripada pengunjung di pusat membeli-belah Berjaya Times Square, Kuala Lumpur.

Collin menjelaskan dalam satu pemerhatian, didapati ramai wanita di Malaysia suka menjahit kerana ia bukan sahaja menjimatkan wang, tetapi hasil kerja yang telah siap akan menjadi tanda kenangan yang dibanggakan.

Cheng Hoe pula yang bersara awal dari dunia korporat dan menjadikan hobi sampingannya mengumpul barangan antik sebagai kerjaya sepenuh masa, melahirkan rasa gembira dengan kemenangan tersebut kerana dia hanya mengharapkan hadiah sagu hati. "Tak sangka dapat tempat pertama. Tapi apa yang saya tidak dapat sangkal ialah keutuhan kualiti mesin jahit Singer yang manjadi household name di Malaysia sejak zaman nenek-moyang kita lagi." ujarnya yang sering mengembara ke negara-negara Eropah.

Khamis, 27 Mei 2010 at Khamis, Mei 27, 2010

2 Comments to "SINGER 50TAHUN"

SEKARANG ADER PROMOSI BELI MOTOSIKAL DI KEDAI SINGER DENGAN BAYARAN MUKA SEBAYAK RM500 SAHAJA..

Semua jenis motor ke?

Catat Ulasan